Sudah tentu ada masanya kita mahukan sedikit kelainan pada penampilan diri. Setiap kelainan memberikan ruang untuk anda mengekspresi diri dan mengelakkan diri berasa bosan dengan gaya yang sama. Salah satu cara yang mudah dalam pelbagaikan gaya adalah dengan menambah corak pada pakaian anda.
Bagi sesetengah orang, pakaian bercorak ini dianggap sukar untuk digayakan kerana mudah kelihatan apabila dipakai berulang-ulang. Namun, dengan menambah kepelbagaian pada baju seperti warna dan rekaan blaus, anda boleh mengatasi kerisauan ini. Sudah tentu ia bukanlah perkara yang mudah tetapi di manakah seronoknya jika tiada sedikit cabaran.
Apabila anda memperagakan corak pada pakaian, ini boleh menampakkan persepsi yang berbeza-beza bergantung pada elemen corak tersebut. Sebagai contoh, gaya feminin kebiasaannya dikaitkan dengan sifat lemah lembut melalui elemen yang lembut seperti bunga. Tudung berbunga boleh menjadi satu pilihan yang baik bagi menambah keceriaan pada gaya seseorang.
Selain melengkapkan penampilan dengan stail tudung tertentu, tudung berbunga juga perlu dipadankan dengan pilihan pakaian atasan dan bawahan yang sesuai. Oleh itu, tudung itu sendiri dapat menyerlah apabila dipakai.
Berikut adalah tips memadankan tudung berbunga dengan pakaian.
-
Memilih Pakaian Dengan Tona Warna Yang Serupa
Anda boleh padankan pakaian atau aksesori seperti beg tangan dan kasut, dengan salah satu pilihan warna yang terdapat pada tudung. Sama ada anda boleh kelihatan lebih ayu dengan memilih warna yang lembut atau kelihatan lebih berkarisma dengan warna yang pekat. Ini adalah padanan yang paling mudah, terutamanya jika anda tetap mahukan keseimbangan antara pakaian bercorak dengan kosong.
Sumber: Shutterstock
-
Memilih Pakaian Berwarna Neutral
Warna-warna “selamat” seperti putih, hitam dan khaki juga merupakan pilihan yang mudah untuk dipadankan dengan tudung berbunga. Cara ini memberikan anda sedikit sentuhan minimalis tanpa kelihatan terlampau “basic”. Walau apa warna tudung sekalipun, anda tidak akan pernah salah dengan kombinasi ini!
Sumber: Shutterstock
-
Padankan Dengan Skirt Atau Maxi Dress
Bagi menambahkan lagi keanggunan, anda boleh menggayakan skirt dengan tudung berbunga. Skirt adalah pakaian yang langsung menampakkan sisi kewanitaan anda kerana ia dianggap khas untuk dipakai oleh kaum wanita. Kombinasi ini akan memberikan tampak yang lebih manis dan sopan pada penampilan anda.
Sumber: Shutterstock
-
Gaya Hijab Retro 50-an
Trend retro 50-an yang kembali hangat beberapa tahun kebelakangan ini, membuatkan gaya hijab ini turut kembali terkenal dalam kalangan anak muda. Gaya ini sesuai menggunakan jenis kain yang licin seperti tudung satin silk dan jenis tudung bawal yang berbentuk segi empat. Gaya penampilan ‘tudung ikat bawah dagu’ ini juga terkenal di negara-negara barat yang turut menjadikan gaya ini serba boleh.
Sumber: Shutterstock
Kini, anda boleh gayakan tudung berbunga untuk ceriakan lagi penampilan anda. Selain corak bunga, tips di atas juga sesuai untuk digunakan bagi tudung bercorak lain seperti abstrak, geometri dan sebagainya. Walau apa jua gaya, anda perlulah yakin dengan penampilan sendiri kerana keyakinan itulah yang akan melengkapi keseluruhan penampilan anda.
Pastikan anda terus mengikuti kami di Facebook dan Instagram Veilnicorn untuk mengetahui petua-petua yang tidak akan anda dapati di tempat lain.