Apabila tibanya akhir tahun, suasana mula didatangi dengan ‘mood’ cuti. Hal ini membuatkan kita berasa lebih teruja setiap kali menjelang tahun baru.
Kebanyakan orang akan bercadang untuk pergi bercuti, menghadiri majlis-majlis tertentu ataupun sekadar memanfaatkan waktu ini untuk berehat.
Majlis seperti pesta akhir tahun yang kebiasaannya diadakan di tempat kerja juga sudah kembali dianjurkan ekoran situasi pandemik yang mulai membaik.
Setelah sekian lama tidak menghadiri majlis-majlis sebegini, anda pasti ingin turut tampil bergaya semasa menghadirinya. Selain tujuan bersosial, ianya juga masa yang sesuai untuk menunjukkan penampilan yang baru serta berbeza daripada hari-hari biasa.
Berikut adalah beberapa tips untuk membuat gaya anda kelihatan lebih glamor.
-
Aksesori Berkilat
Objek yang berkilat sering dikaitkan dengan kemewahan seperti emas, perak dan berlian. Barang perhiasan seperti anting-anting, rantai, gelang ataupun cincin juga sesuai untuk dipadankan sebagai pelengkap pada gaya penampilan seseorang.
Bagi yang bertudung, kerongsang juga merupakan aksesori yang biasa digunakan.
Namun, selain kerongsang, ‘headband’ ala-ala tiara yang dipakai di kepala juga boleh membuatkan penampilan anda kelihatan jauh lebih menarik. ‘Headband' ini juga sesuai untuk diletakkan di atas tudung.
Sumber: Shutterstock
-
Pewarna Kuku
Kuku yang berwarna bukan setakat mampu memberikan aura yang berlainan, malah ia juga dapat memberikan sedikit sentuhan tambahan yang menawan.
Warna kuku yang gelap dapat menampilkan keyakinan diri seseorang, manakala warna yang lembut menunjukkan seseorang yang lebih seronok serta mudah didekati.
Terdapat beberapa pilihan pewarna kuku yang mesra wuduk antaranya adalah pewarna kuku yang diperbuat berasaskan air (water-based), pewarna kuku yang boleh dikupas (peelable) atau kuku palsu yang dilekatkan pada kuku (stick-on) serta boleh ditanggalkan apabila ingin mengambil wuduk.
Ianya adalah alternatif bagi menggayakan diri tanpa mengkompromi kewajipan untuk menunaikan solat.
Sumber: Shutterstock
-
Pakaian Labuci (Sequins)
Sama seperti aksesori, pakaian yang pastinya nampak glamor sudah tentu pakaian yang mempunyai manik atau berkilat juga. Oleh itu, jahitan menggunakan labuci (sequins) sering ada pada pakaian majlis-majlis keramaian untuk membuatkannya kelihatan lebih mewah.
Labuci pada ‘dress’ juga sesuai dipadankan dengan tudung yang kosong dan tidak terlalu menonjol agar fokus dapat ditumpukan pada pakaian itu sendiri.
Sumber: Shutterstock
-
Set Sut
Selain ‘dress', set sut berwarna juga boleh menjadi salah satu tarikan bagi yang inginkan gaya minimalis namun masih tampak mewah. Kebiasaannya set sut ini terdiri daripada jaket blazer dan seluar yang sepadan tanpa ada sebarang corak padanya.
Set sut berwarna selain daripada hitam dan biru gelap selalunya tidak dianggap sebagai pakaian formal. Jadi, ianya amat sesuai untuk dipakai di majlis-majlis seperti pesta yang bertujuan sekadar untuk berfesyen.
Bagi tudung yang sesuai pula, set sut fleksibel jika dipadankan dengan mana-mana jenis tudung sama ada bercorak ataupun tidak. Namun begitu, tudung bercorak boleh mengelakkan penampilan anda daripada kelihatan bosan apabila dipadankan dengan sut yang kosong semata.
Sumber: Shutterstock
Pastikan anda terus mengikuti kami di Facebook dan Instagram Veilnicorn untuk mengetahui petua-petua yang tidak akan anda dapati di tempat lain.