Siri Inspirasi: Pemakaian Tudung Yang Simple dan Cepat

Siri Inspirasi: Pemakaian Tudung Yang Simple dan Cepat

Apabila kita memikirkan pasal gaya tudung yang ringkas dan cepat dipakai, kita mungkin membayangkan cara pemakaian tudung ala kadar sahaja. Ini mungkin betul, tetapi anda mungkin mahukan kelainan dalam pemakaian tudung harian anda.

Inilah antara idea-idea yang berjaya kami kumpulkan di media sosial, bagaimana menggayakan tudung simple dan cepat, tetapi masih lagi unik dan menarik.

 

  1. Sulaman Ayu di Hadapan

    Tudung Chiffon bersulam nampak ayu dan feminin kerana kainnya lembut dan sangat sesuai dibiarkan bergantung di hadapan atau di belakang.

    Untuk gaya ini, anda hanya perlu memilih tudung shawl yang bersulam di kedua-dua hujung. Selepas itu, hanya lilitkan di atas ‘inner’ dengan bahagian sulaman tertera di hadapan untuk tampil anggun dan elegan.

    Sumber: zzatyrazak@Instagram

     

  2. Tudung Beralun di Tepi

    Untuk gaya tudung harian ini, anda tidak semestinya memilih tudung dengan alunan di tepi, tetapi lebih baik kalau bahagian tepinya mempunyai potongan atau corak yang unik.

    Apa yang menarik di sini adalah bagaimana satu belah tudung bawal ini disusun kemas secara ‘menurun’ di bahagian hadapan manakala sebelah lagi dililit ke belakang secara longgar. Ini memberikan kesan corak tepian yang berlapis.

    Sumber: tashamanshahar@Instagram

     

  3. Susunan Bawal Yang Rawak

    Kadang-kala kita tak perlu terlalu memikirkan cara untuk menyusun atau melilit tudung yang terlalu rumit atau mendalam. Tidak perlu juga untuk bahagian depan tudung kelihatan kemas atau licin.

    Melakukannya dengan rawak pun akan menghasilkan sesuatu corak yang cantik juga. Jadi, jika anda mengejar masa, anda bolehlah mencuba susunan yang nampaknya seakan-akan rawak, tetapi sangat artistik ini.

    Sumber: lunahana_ofiicial@Instagram

     

  4. Melilit Semuanya Ke Belakang

    Satu lagi cara yang masih kelihatan bagus dan tidak memerlukan banyak usaha adalah susunan tudung ke belakang. Ini akan membuatkan bahagian depan dan bahagian leher anda kelihatan bersih dan kemas.

    Anda boleh lipatkan satu belah di bawah sebelah tudung bawal yang satu lagi untuk membuatkannya kelihatan tebal di bahagian depan leher.

    Sumber: nhurfatin@Instagram

     

  5. Fokuskan ke Tengah

    Apabila anda tidak mahu susunan tudung yang ‘flowing’ kerana perlu bergerak jauh ataupun sangat sibuk, anda bolehlah mempertimbangkan susunan tudung ini.

    Ianya lebih singkat dan alunan lipatannya difokuskan di bahagian tengah. Ianya memberikan gaya yang sangat simple, tetapi penuh dengan ciri moden dan kasual.

    Sumber: __nisaanisa__

 

Kami akan membekalkan anda pelbagai idea penjagaan dan pengayaan tudung dari masa ke semasa, jadi ikutilah kami di laman Facebook dan Instagram Veilnicorn hari ini. Jika anda rasa siri inspirasi kami ini berguna, kongsikanlah dengan rakan-rakan anda juga!

Back to blog