Gaya seseorang yang bertudung tidak cuma terhad pada pemilihan tudung seperti jenis kain, warna mahupun corak semata. Seiring dengan perkembangan fesyen terkini, ramai anak muda mula tertarik dengan penggunaan aksesori pada tudung. Penambahan aksesori pada penampilan dapat membuatkan seseorang kelihatan lebih seronok, di samping kelihatan lebih berani mencuba sesuatu yang baru.
Jika anda sudah merasa puas mencuba pelbagai gaya tudung, penggunaan aksesori boleh memberi nafas baru pada penampilan anda. Namun, tidak semua aksesori sesuai digayakan bersama semua jenis tudung. Hal ini memerlukan anda menjalankan sedikit eksperimen agar dapat menyesuaikan mengikut kehendak masing-masing.
Antara aksesori yang mulai digemari ramai adalah penggunaan topi pada tudung. Topi ini juga terdiri daripada pelbagai jenis yang berlainan.
-
Topi Beret
Jika dahulunya gaya pemakaian beret ini lebih disinonimkan dengan seorang pelukis atau badan beruniform, namun kini, pemakaian beret sudah makin terkenal sebagai aksesori yang menampakkan kemewahan dan elegan pada gaya seseorang.
Salah satu kebaikan menggayakan topi beret ini adalah anda tidak perlu lagi risau dengan masalah ‘awning’ tudung yang kemek. Kebanyakan gaya pemakaian beret akan menutupi sebahagian daripada dahi, sekaligus menghilangkan keperluan untuk anda kemaskan ‘awning’ pada tudung.
Sumber: senaseveer@Instagram
-
Bucket Hat
Di samping penggunaan topi beret, ‘bucket hat’ pula sesuai bagi mereka yang ingin kelihatan lebih kasual. Gaya pemakaian tudung yang sering dipadankan dengan ‘bucket hat’ ini lebih terjurus ke arah fesyen jalanan ataupun ‘street fashion’.
Oleh kerana gaya yang lebih kasual, anda juga sesuai menggayakan ‘bucket hat’ ketika bersukan. Selain daripada kelihatan bergaya, ianya juga berguna bagi melindungi muka daripada sinaran matahari.
Sumber: Pinterest
-
Beanie
Pemakaian topi ‘beanie’ ini sudah lama menjadi trend, namun mengenakannya dengan tudung merupakan gaya yang masih boleh dikatakan baru. Padanan tudung dengan ‘beanie’ juga dapat membuatkan gaya anda kelihatan lebih santai dan bersahaja.
Tambahan pula, ianya juga sesuai jika anda sedang berada ditempat yang bersuhu dingin kerana ‘beanie’ dapat berfungsi sebagai penutup telinga atau ‘ear muffs’ pada musim sejuk.
Sumber: bazzibatul@Instagram
-
Bandana
Selain daripada topi, ‘bandana’ juga merupakan salah satu aksesori tambahan di kepala yang boleh menceriakan lagi penampilan seseorang. Sama seperti tudung, ‘bandana’ juga datang dengan pelbagai corak dan warna yang boleh menarik perhatian.
‘Bandana’ yang perlu diikat pada belakang tudung juga memastikan tudung anda sentiasa kemas kerana dapat menghadkan pergerakan tudung. Jadi anda juga tidak perlu risau untuk kemaskan tudung apabila ditiup angin.
Sumber: Pinterest
Berdasarkan gaya-gaya yang tersenarai di atas, anda bebas untuk mencuba pelbagai jenis topi mahupun aksesori yang lain untuk mengenalpasti mana satu yang terasa lebih dekat dengan personaliti anda.
Pastikan anda terus mengikuti kami di Facebook dan Instagram Veilnicorn untuk mengetahui petua-petua yang tidak akan anda dapati di tempat lain.