Walaupun pemakaian mask (pelitup muka) di luar mahupun dalam bangunan sudah mendapat kelonggaran, pemakaiannya belum dapat kita abaikan sepenuhnya. Bagi yang masih memilih untuk memakai mask, semestinya keselesaan perlu dititikberatkan dalam meneruskan gaya hidup ini.
Apabila memakai mask secara berterusan, pelbagai faktor boleh membuatkan anda merasa kurang selesa. Salah satu puncanya adalah cuaca Malaysia yang sentiasa panas dan lembab. Perkara yang paling tidak diingini adalah merasa rimas apabila berada di luar, lebih-lebih lagi jika anda turut memakai tudung.
Oleh itu, terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan bagi memastikan anda selesa memakai mask apabila bertudung.
-
Pilih Jenis Mask Yang Sesuai
Bagi kulit yang sensitif atau mudah mendapat alahan pada muka, jenis mask yang dipilih memainkan peranan penting. Terdapat pelbagai jenis mask di pasaran. Secara umumnya, terdapat dua jenis mask iaitu jenis pakai buang ataupun fabrik.
Bagi yang jenis pakai buang, antara yang sering dijumpai adalah mask pembedahan (surgical mask), KF94, KN95 atau N95. Setiap orang mempunyai citarasa yang berbeza-beza. Oleh yang demikian, anda digalakkan mencuba pelbagai jenis mask bagi mengenal pasti pilihan yang paling sesuai.
Selain itu, terdapat juga jenis fabrik yang bukan sahaja boleh diguna semula, malah ia juga diperbuat daripada kain kapas yang kebiasaannya lebih nyaman pada kulit. Namun mask jenis fabrik ini memerlukan lebih penjagaan, seperti kerap dicuci serta diganti “mask filter”, yang mungkin dianggap leceh bagi sesetengah orang.
Tahap keberkesanan pada setiap jenis mask ini adalah berbeza. Bentuk dan ketebalan mask juga perlu diambil kira sama ada sesuai dengan bentuk muka dan cara pernafasan anda ataupun tidak. Pilihan mask yang terbaik adalah mask yang tidak menjejaskan pernafasan serta tidak memberikan radang pada kulit.
Sumber: Shutterstock
-
Pilih Jenama Mask Yang Selesa Dipakai
Kualiti yang baik serta berfungsi mengikut apa yang diharapkan wajar agar tidak menjejaskan aktiviti harian.
Antara ciri-ciri mask yang tidak berkualiti adalah mask yang terlampau nipis sehingga mudah menampakkan tompok-tompok peluh, mask yang mempunyai tali yang mudah putus serta mask yang memberikan perlindungan yang kurang daripada apa yang disyorkan, seperti mask tanpa filter atau mask yang hanya mempunyai 2 lapisan.
Sumber: Shutterstock
-
Gunakan “Mask Extender” Atau Jenis Headloop
Bagi individu bertudung, menyangkut mask pada telinga menjadi satu cabaran bagi kebanyakan gaya tudung. Kebiasaannya tudung yang menutupi kawasan telinga menyebabkan mask sukar dipakai dan ditanggalkan terutamanya ketika makan atau minum.
Justeru itu, lebih mudah apabila tali mask diletakkan pada bahagian luar tudung. Anda boleh memanfaatkan barang seperti “mask extender” atau menambah pin pada bahagian kiri dan kanan tudung. Mask extender didatangi dengan pelbagai jenis seperti rantai besi dan magnet, kain getah dan butang, silikon, plastik dan sebagainya. Ramai juga yang menganggap mask extender ini sebagai aksesori tambahan. Oleh itu, anda boleh memilih jenis-jenis extender mengikut estetik anda.
Pada yang mengutamakan kesenangan, anda disarankan membeli jenis mask headloop yang disangkut terus pada kepala supaya tidak perlu risau tentang ketiadaan mask extender.
Sumber: Shutterstock
-
Kerap Tukar Mask
Jangan lupa untuk gantikan mask dengan yang baru jika sudah dipakai sehari suntuk. Peluh dan kuman pada mask boleh juga menjadi punca ketidakselesaan semasa memakai mask. Anda digalakkan juga membawa mask tambahan apabila meninggalkan rumah agar mudah ditukar jika mulai rasa kurang selesa.
Sumber: Shutterstock
Walaupun dalam keadaan menutup muka dan kepala, anda boleh kekal selesa jika dapat memilih pilihan mask yang sesuai.
Pastikan anda terus mengikuti kami di Facebook dan Instagram Veilnicorn untuk mengetahui petua-petua yang tidak akan anda dapati di tempat lain.