Tudung kita akan menjadi kotor apabila dipakai, tidak kira untuk sehari suntuk ataupun tempoh yang singkat. Cuaca panas di Malaysia ini membuatkan tudung kita sering dibasahi peluh. Selain daripada kesan peluh, tudung kita mungkin juga terkena sisa makanan, habuk ataupun kotoran lain.
Oleh itu, kita harus memastikan bahawa setiap helaian tudung itu dibasuh dengan rapi, dan dijemur dengan cara yang betul. Ini adalah untuk mengelakkan tudung kita berbau kepam atau masam.
Kalau tudung kita timbul bau sebegini, sudah tentu ianya tak boleh dipakai dan proses menghilangkan bau ini pun memakan masa dan usaha. Ikutilah petua-petua berikut untuk mengelakkan tudung anda daripada berbau, dan mengekalkan kualiti fabrik.
-
Lebih Baik Dicuci Dengan Tangan
Tudung biasanya diperbuat daripada kain yang lembut dan lebih sensitif berbanding kain baju. Oleh itu, lebih baik kalau ianya dicuci dengan tangan. Proses mencuci dengan tangan juga lebih berkesan untuk mengesan dan menghilangkan apa-apa kesan degil yang ada pada tudung anda.
Kalau anda tiada masa dan ingin mencuci dengan mesin basuh, gunakanlah beg pelindung atau beg jaring yang boleh dijumpai di kedai perkakasan rumah. Beg jaring sebegini juga berguna untuk mengelakkan tudung anda berbelit dengan pakaian lain dalam mesin basuh yang mungkin akan merosakkan urat benangnya.
Sumber: Shutterstock
-
Gunakan Peluntur Selamat Warna
Sebulan sekali atau dua kali, rendamlah tudung anda dengan sedikit peluntur yang selamat untuk warna, juga dikenali sebagai ‘colour safe bleach’ atau peluntur oksigen.
Peluntur ini ada beberapa fungsi, yang pertamanya untuk membantu membersihkan kesan degil dan yang keduanya untuk membunuh kuman yang boleh menyebabkan bau hapak atau kepam. Gunakan sebanyak yang disyorkan pada pek peluntur dan jangan terlalu banyak kerana boleh merosakkan kain.
-
Keringkan Serta Merta
Sesetengah orang mungkin mempunyai amalan meninggalkan kain yang sudah dibasuh selama berjam-jam ataupun semalaman sebelum digantung. Amalan ini sebaik-baiknya haruslah dielakkan.
Apa-apa pakaian pun, termasuk tudung, haruslah dikeringkan serta merta selepas dibasuh. Ini kerana penyimpanan tudung dalam keadaan lembap bagi tempoh masa yang lama akan menggalakkan pertumbuhan kuman yang menyebabkan bau.
Tudung juga sebaik-baiknya digantung menggunakan hanger supaya air boleh menitik ke bawah dan ianya boleh kering dengan lebih cepat.
Sumber: Shutterstock
-
Gunakan Pelembut Fabrik
Pelembut ini boleh membantu memberikan bau yang wangi kepada tudung kita, di samping membantu menjaga kain tudung tersebut daripada berjumbai atau terurai.
Perlu diingat bahawa jika helaian tudung anda sudah mempunyai bau yang tidak menyenangkan setelah kering, ianya perlu dibasuh dan dikeringkan semula.
Untuk bau yang memang degil, anda boleh cuba rendamkan tudung dengan sedikit cecair pembasmi kuman (macam Dettol) bagi 1 jam sebelum dibasuh dengan sabun seperti biasa.
Anda boleh mendapat lebih banyak tips penjagaan tudung sebegini dan banyak lagi konten menarik di laman Facebook dan Instagram kami, jadi ikutilah kami hari ini!